Sorting by

×

1,500 orang Melaka beri sokongan buat Harimau Malaya

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 25 Januari – Tayangan Skrin Besar saingan Piala Asia 2023, Qatar ‘Korea Selatan menentang Malaysia’ di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meriah dengan kehadiran lebih 1,500 peminat bola sepak tanah air.

Tayangan skrin besar tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal serta kenamaan lain.

Orang ramai yang hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut turut memecah keheningan malam dengan sorakan padu, terutamanya setiap kali Harimau Malaya menjaringkan gol.

Meskipun, skuad kebangsaan telah tersingkir lebih awal selepas tewas pada dua perlawanan peringkat kumpulan, namun aksi terakhir itu tetap menjadi tumpuan memandangkan lawan negara ialah Korea Selatan yang berada di ranking ke-22 dunia.

Img 20240125 230423 032
GELAGAT peminat meraikan jaringan Harimau Malaya pada tayangan skrin besar Piala Asia 2023 di Dataran Bandaraya MBMB. Foto: MR. AZLI

Lebih manis, perlawanan itu menentang gergasi Asia itu berakhir dengan keputusan seri 3-3 apabila pemain naturalisasi negara, Romel Morales menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan.

Selain tayangan siaran langsung, acara tersebut turut diserikan dengan pertunjukan daripada ‘Pro Football Styler’ Jason Lee dan cabutan bertuah.

Tayangan skrin besar itu merupakan inisaitif Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka.

Sebanyak tiga tayangan telah diadakan di Dataran Bandaraya Melaka yang mana ia telah bermula 16 Januari lalu, diikuti 20 Januari dan 25 Januari (malam ini).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2324
Kongsi :
Previous post Rebut peluang tiket masuk percuma 20 Februari ini
Next post KBS perluas tayangan skrin gergasi acara sukan
Ubah saiz-+=