1,500 BERLARI PAKAI KAIN PELIKAT, BATIK

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 3 September – Acara ‘fun walk’ yang diadakan bersempena Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI Parlimen Hang Tuah Jaya berlangsung meriah apabila disertai kira-kira 1,500 peserta.

Menariknya, kesemua peserta dikehendaki mengikut tema iaitu mengenakan kain pelikat dan kain batik dalam acara berjalan santai yang bermula di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah itu.

Pengarah Penerangan Negeri Melaka Ab Rasil Hajatil berkata, selain ‘fun walk’, program berkenaan juga menampilkan pelbagai pengisian khas untuk masyarakat setempat dalam suasana santai.

Jelasnya, program itu juga merupakan antara inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) untuk memperkasa 84 Komuniti Madani yang telah ditubuhkan di Negeri Melaka sebagai satu gerakan sukarela yang berperanan sebagai penghubung komunikasi antara JAPEN dan juga masyarakat.

“Menerusi Komuniti Madani ini, pelbagai aktiviti boleh dirangka dan dijalankan untuk manfaat penduduk setempat disamping pihak JAPEN dapat menyampaikan maklumat mengenai dasar atau inisiatif Kerajaan, isu-isu semasa dan kenegaraan kepada penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada program berkenaan, 31 Ogos lalu.

Whatsapp Image 2024 09 02 At 7.53.43 Pm
PAMERAN khas yang dibawakan oleh pasukan E8 PDRM berkongsi kisah kejayaan membanteras pengganas komunis dan ajaran-ajaran sesat di negara kita.

Program itu telah dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim dan turut dihadiri Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Menurut Ab Rasil, program JIWA Komuniti MADANI Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut membawakan pameran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Cawangan Khas Bukit Aman.

Jelas beliau, ia merupakan pameran pertama Cawangan Khas Bukit Aman di Melaka bagi berkongsi fungsi dan peranan Bahagian Counter Terrorism (E8), iaitu unit elit bertanggungjawab memerangi jenayah keganasan yang bersifat subversif, ekstremis dan sabotaj.

“Pameran ini, antara lain memaparkan kejayaan-kejayaan membanteras pengganas komunis dan ajaran-ajaran sesat di negara kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

251
Kongsi :
Previous post PEMANDU E-HAILING BAWA KECERIAAN UNTUK ANAK YATIM
Next post BUDAK MELAKA HANDAL ‘SPEAKING’
Ubah saiz-+=