150 jaguh Muay Thai ‘bertempur’ di MAHA 2024
AYER KEROH 17 Julai – Penganjuran MAHA International Muay Thai Championship 2024 menjadi medan terbaik bagi memberikan pendedahan dan mencari atlet berpotensi untuk mewakili Malaysia ke Sukan Sea.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Melaka Emrito @ Haris Alias berkata, kejohanan itu dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 20 September ini bersempena  Pameran Pertanian, Hotikultur dan Agro Pelanongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, Selangor.
Katanya, kejohanan itu dianggap sebagai peluang keemasan untuk menguji kelasakan atlet kerana menghimpunkan peserta terbaik tempatan mewakili negeri dan antarabangsa dari Singapura, Thailand, Indonesia serta Brazil.
“Kejohanan ini berlangsung selepas Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) Sarawak, jadi setiap negeri ada masa untuk mengenal pasti jaguh mereka untuk masuk ke gelanggang MAHA Muay Thai Championship 2024.
“Bagi Negeri Melaka kita beradang untuk menghantar enam atlet terbaik bagi memberi saingan dalam lima kategori yang dipertandingkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, kejohanan berlangsung selama 10 hari itu setakat ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan peserta tempatan dan luar negara terutama Thailand.
Namun, pihaknya menjangkakan sekitar 150 jaguh Muay Thai terbaik tempatan dan antarabangsa akan bertempur dalam kejohanan yang julung kali dianjurkan.
“Sukan lasak ini menjadi salah satu elemen tarikan untuk ke MAHA, bukan setakat lihat pemeran tetapi berpeluang menyanksikan pertandingan seni mempertahankan diri secara langsung.
“Kita bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Persatuan Muay Thai Malaysia dan Kelab Muay Thai Kala Merah bagi menjayakan kejohanan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.