Sorting by

×

15 TAHUN TAK PERNAH LUPA BELANJA BAJU RAYA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 Mac – Menyedari ada insan yang serba kekurangan dan tidak mampu membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri, UMNO Cawangan Baruh Alai, Telok Mas mengambil inisiatif untuk menceriakan golongan berkenaan.

Menerusi program Riang Ria Hari Raya, seramai 50 anak-anak yatim, asnaf dan warga emas dari Pusat Kebajikan Warga Emas Bukit Larang telah dibawa ke sebuah pusat beli belah di sini, bagi membeli kelengkapan menyambut lebaran, termasuk baju raya.

Ketua UMNO Cawangan Baruh Alai Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, program itu telah dianjurkan bermula tahun 2010 dan kini ia sudah masuk tahun ke-15 dianjurkan bagi menzahirkan keprihatinan pemimpin masyarakat terhadap golongan yang perlu disantuni.

Jelasnya, menerusi program itu, kesemua penerima diberikan peruntukan berjumlah RM200 setiap seorang untuk membeli apa jua kelengkapan yang diperlukan bagi meraikan Aidilfitri.

“Kita tahu bukan semuanya mampu untuk menyediakan kelengkapan raya seperti insan lain, sebab itulah sejak 15 tahun kami tidak pernah melupakan mereka yang memerlukan seperti ini.

“Kekuatan saya adalah penyumbang-penyumbang yang banyak membantu, terutamanya Ketua UMNO Bahagian Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang banyak memberi sokongan. Kami di sini hanya bertindak sebagai ‘jambatan’ untuk menyalurkan bantuan-bantuan ini.

“Kami amat berharap menerusi program ini ia sedikit sebanyak dapat mengukir senyuman untuk penerima bagi menyambut hari raya yang akan tiba,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.

Dalam pada itu, Akramuddin turut menzahirkan harapan agar program seumpamanya dapat dianjurkan oleh lebih banyak agensi dan jabatan kerajaan, begitu juga pihak-pihak swasta setiap kali tiba musim perayaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post 170 PEGAWAI SYARAK DUN AYER LIMAU TERIMA SUMBANGAN RAMADAN
Next post LEBIH 2,000 PEMIMPIN MASYARAKAT BERBUKA PUASA BERSAMA KETUA MENTERI