Sorting by

×

15 penjual, pembeli jeruk mangga di lampu isyarat kena saman

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

DURIAN TUNGGAL 13 Dis – Padah menjalankan aktiviti jual beli jeruk mangga di persimpangan lampu isyarat lebuh raya, beberapa individu dikompaun hari ini.

Tindakan itu di ambil menerusi Op Penjaja Jalanan yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka di sekitar persimpangan lampu isyarat Gangsa dan Ayer Keroh.

Ketua JSPT Melaka Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, tindakan itu diambil bukan sahaja kepada penjual bahkan pembeli dan pembekal turut diambil tindakan di atas kesalahan mengganggu keselamatan pengguna jalan raya dan dikhuatiri menyebabkan kemalangan lalu lintas.

Katanya, seramai empat pembeli dan lima pembekal jeruk mangga dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM150, manakala enam penjual pula bakal dikenakan tindakan undang-undang.

“JSPT Melaka akan menjalankan operasi bermula hari ini sehingga 31 Dis ini.

“Operasi ini terpaksa kita jalankan memandangkan sekarang ini terlalu ramai orang yang berniaga di jalanan ini dan menyebabkan bahaya kepada penjual dan bahaya kepada pengguna jalan raya.

“Di Melaka sendiri ada suatu keadaan di mana motor trafik hampir melanggar penjual apabila kita melintas di celah-celah kenderaan ini.

“Dalam operasi pada hari ini, kita telah mengeluarkan saman terhadap enam penjual, manakala empat pembeli dan lima pembekal jeruk mangga dikompaun RM150,” katanya.

PENJUAL jeruk mangga berhampiran persimpangan lampu isyarat MITC disoal siasat JSPT Melaka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang.

Mengulas lanjut, ujarnya, biarpun larangan berniaga di persimpangan lampu isyarat itu telah dikuatkuasakan sejak 10 Oktober tahun lalu, namun larangan tersebut dipandang enteng, malah jumlah peniaga semakin bertambah sejak akhir-akhir ini.

Justeru, tindakan undang-undang perlu diambil di bawah akta 10A (1) LN 166/59 dibaca bersama 10A (2) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya.

“Saya katakan tadi carilah tempat berniaga lebih baik. Kita boleh tengok macam di Krubong ada yang meniaga pisang goreng di tepi jalan.

“Itu di tepi, jadi kita boleh berhenti di tepi. Kita tak halang, siapa cari rezeki kita tak halang tapi carilah tempat-tempat yang sesuai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2161
Kongsi :
Previous post Diskaun saman: Polis Melaka terima kutipan lebih RM2.5 juta
Next post Konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ bendung gejala buli di sekolah
Ubah saiz-+=