Sorting by

×

15 keluarga tinggal di atas tanah kerajaan rayu ihsan

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

KLEBANG 25 Nov- Sebanyak 15 keluarga di Kampung Batang Tiga, Klebang mohon kerajaan negeri pertimbang status tanah yang didiami dari generasi ke generasi mereka lebih 100 tahun lalu.

Merangkumi 59 penduduk yang tinggal di atas tanah milik kerajaan berkeluasan lebih satu hektar itu, rata-rata penduduk di situ merupakan warga emas.

Turut difahamkan status tanah terbabit kini milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan tanah terbabit diberi kepada agensi kerajaan itu bagi pembangunan tanah kubur di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)  Batang Tiga, Mustafa Mohd Baboo, 53, berkata permohonan berkumpulan telah dibuat namun ditolak oleh kerajaan.

“Saya sendiri generasi ketiga dalam keluarga yang tinggal di sini, dan rata-rata penduduk di sini bukan semua dari kalangan orang yang senang, dan mereka telah tinggal lama di sini jadi perlu dibantu.

“Dua tahun lalu kami penduduk di sini dapat surat, ada yang masuk hospital terkejut, pada asalnya kami fikirkan ini adalah tanah wakaf, jadi bila kami dapat notis untuk keluar dalam tempoh sebulan, waktu itu kami buat permohonan,” katanya.

Nada yang sama disuarakan seorang warga emas, Alimah Dolah, 75, yang mengharapkan kerajaan tidak ‘menghalau’ nya keluar dari tempat dia membesar.

“Makcik dapat surat dua tahun lepas, minta makcik keluar dari tanah ni, katanya menceroboh tanah kerajaan dan rasanya surat itu dari pejabat tanah.

“Makcik dah tua, mana lagi nak pergi? Kalau muda boleh lah cari rumah sewa, tapi dah tua macam ni apakan daya, harapkan kerajaan sahaja untuk membantu kita,” jelasnya sebak.

Masalah itu bagaimanapun mendapat perhatian Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang berjanji akan membincangkan perkara itu bersama kerajaan negeri dalam masa terdekat.

“Kita akan minta kerajaan tarik semula keputusan daripada pihak MAIM untuk diberikan (tanah) kepada penduduk, saya akan jumpa dgn Ketua Menteri bersama ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Klebang untuk beri pandangan dan mohon beri peluang kepada penduduk.

“Keputusan dari permohonan berkumpulan dari penduduk telah dapat dua hari lepas, dan ditolak, apa yang kita akan bantu, cuba untuk hilangkan keresahan penduduk, kerana mereka ini adalah keutamaan,” jelasnya.

Sementara itu, ADUN Klebang Datuk Lim Ban Hong turut menyatakan kesediannya untuk membantu memandangkan kediaman sudah wujud sejak sekian lama di atas tanah terbabit.

“Memandangkan kediaman wujud di atas tanah ini sejak sekian lama jadi dalam permohonan tanah ini, contohnya rumah-rumah yang sedia ada ini patut dimasukkan dalam siasatan tanah.

“Keutamaan kami adalah penduduk di sini, kami bersama kepimpinan Bahagian UMNO, termasuk bersama wakil keluarga akan pergi berjumpa Ketua Menteri dan meminta untuk beri keutamaan pada penduduk yang tinggal lama di sini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

898
Kongsi :
Previous post Pendekatan EBP perlu digalakkan bagi capai sasaran berada antara sembilan ekonomi terbaik dunia – Ismail Sabri
Next post Kerajaan rancang secara sistematik ganti pesawat Hawk dalam CAP55
Ubah saiz-+=