15 calon Bebas wujudkan ‘Gagasan Bebas’
MELAKA 8 Nov Seramai 15 daripada 22 calon bebas yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bersetuju mewujudkan Gagasan Bebas bagi menghadapi kempen PRN berkenaan.
Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam Datuk Norazlanshah Hazali berkata gagasan tersebut diwujudkan atas rasa nekad calon-calon Bebas berkenaan, untuk membetul dan menstabilkan arena politik di negeri itu.
“Setakat ini seramai 15 calon bebas telah bersetuju dengan cadangan ini, dan selebihnya masih dalam perbincangan.
“Kami semua adalah calon Bebas, tidak terikat dengan mana-mana parti, malah tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana parti,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Pada penamaan calon hari ini, seramai 22 calon Bebas akan bertanding di 16 DUN termasuk Datuk Norhizam Hassan Baktee, yang akan mempertahankan kerusi Pengkalan Batu.
Katanya mereka semua bersepakat ingin mengetengahkan beberapa isu terutamanya melibatkan kesihatan dan kebajikan rakyat.
Dalam pada itu, Norazlanshah menjelaskan kesemua 15 calon tersebut akan menandatangani surat akuan bersumpah (SD), dan pihaknya kini pada fasa akhir memperhalusi kandungan dokumen itu.
“Antara intipati utama SD tersebut adalah calon yang bersama Gagasan Bebas tidak akan membentuk satu parti baharu selepas PRN, atau sesekali melompat parti sekiranya ditawarkan menyertai mana-mana parti selepas ini.
“Kami juga bersedia untuk meletakkan jawatan malah rakyat boleh menuntut dan bawa kami ke mahkamah bagi mengosongkan kerusi, jika kami ingkar SD tersebut,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.