147 tan rampasan makanan disalur kepada zoo, penjara

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 11 Feb – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyumbangkan 147 tan hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian bernilai RM2.3 juta kepada jabatan dan agensi berkaitan yang memerlukan sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, sumbangan berupa makanan haiwan itu diagihkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menerusi Program MAFI Prihatin.

Menurutnya, ia merupakan hasil sitaan pengimportan keluaran pertaniaan yang telah dilucuthakkan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Ia bertujuan memastikan bekalan makanan haiwan kepada zoo mencukupi manakala ada bekalan mentah dijadikan makanan ternakan ikan oleh banduan di Jabatan Penjara,” katanya pada majlis serahan sumbangan bekalan makanan haiwan kepada jabatan dan agensi di sini hari ini.

Sejumlah tujuh tan makanan haiwan berupa keratan ayam beku, daging sejuk beku dan produk hasilan daging bernilai RM73,000 diagihkan kepada Zoo Melaka, Zoo Negara, Zoo Taiping, Zoo Kemaman dan Bukit Merah Laketown Resort.

Kata Ahmad, serahan sumbangan makanan haiwan itu kepada zoo adalah yang kedua tahun ini selain Jabatan Penjara dan sebuah resort.

Pada masa yang sama, katanya, pihaknya menerusi MAQIS akan terus komited dan tegas dalam melakukan penguatkuasaan terhadap setiap pengimportan keluaran pertanian khususnya melibatkan dagangan ayam dan daging.

“MAQIS juga tidak akan berkompromi sekiranya melibatkan aspek halal kerana ia paling dititikberatkan oleh rakyat di negara ini terutama umat Islam,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1148
Kongsi :
Previous post Bapa ditahan kes bayi terkena minyak panas
Next post Kes rawatan tertunggak bukan COVID-10 di hospital berkurangan sebanyak 33.8 peratus
Ubah saiz-+=