145 keluarga terima sumbangan Deepavali
BUKIT KATIL 22 Oktober – Kegembiraan jelas terpancar diriak wajah 145 ketua dan wakil keluarga yang hadir menerima sumbangan Deepavali peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya, di sini, hari ini.
Menurut Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin dengan sumbangan daripada kerajaan negeri ini ia diharap dapat membantu penerima dalam membuat persiapan menyambut Deepavali.
“Sudah pasti pelbagai persiapan mahu dilakukan bagi menyambut Deepavali bersama keluarga dan dengan sumbangan ini ia dapat membantu meringankan beban.
“Malah sumbangan ini juga secara tidak langsung dapat menzahirkan tanda keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu golongan masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sumbangan Perayaan Deepavali 2022 Peringkat Hang Tuah Jaya, di Dewan Dato Demang Hussin, Bukit Katil.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengerusi MIC Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk R Jeganathan.
Menurut beliau, pada perayaan Deepavali tahun ini seramai 1,000 penerima dikenal pasti dan diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membabitkan 460 dari daerah Melaka Tengah, 325 orang dari Alor Gajah dan bakinya 215 dari Jasin.
“Penerima sumbangan ini terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal bertanggungan.
“Setiap tahun Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sumbangan kepada semua perayaan tanpa mengira kaum dan agama agar ia dapat disambut serta diraikan dengan penuh bermakna,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.