142 ANAK ASNAF CEMERLANG DIRAIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 8 September – Seramai 142 anak asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang cemerlang dalam akademik diraikan pada Majlis Anugerah Tunas Inspirasi (MATIN) Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 2024.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, mereka yang diraikan  adalah murid dan pelajar cemerlang Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Kolej Vokasional (PKV), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2023.

Rahmad berkata, majlis itu bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada kejayaan anak-anak yang bakal menjadi pewaris masa hadapan khususnya untuk Negeri Melaka.

“Menerusi majlis ini kita dapat lihat bahawa kesusahan dalam kehidupan bukanlah penghalang untuk anak-anak mencapai kejayaan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri menyambut baik usaha murni MAIM dalam memperkasakan mutu dan kualiti pencapaian pendidikan khususnya anak-anak asnaf di negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Pameran Anugerah Tunas Inspirasi MAIM 2024 (MATIN 2024) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Menurut beliau, sepanjang 2024 Kerajaan Negeri menerusi MAIM memperuntukkan RM2.5 juta bagi Bantuan Persiapan Persekolahan yang diagihkan kepada asnaf, miskin dan mualaf di seluruh Negeri Melaka.

“Seramai 8,600 orang anak asnaf menerima manfaat daripada peruntukan ini melalui pemberian pakaian dan alat kelengkapan persekolahan seperti baju sekolah, kasut, beg, alat tulis dan keperluan lain.

“Dengan bantuan disalurkan ini diharap dapat meringankan beban ketua keluarga selain dapat memastikan anak-anak ini meneruskan pelajaran mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

219
Kongsi :
Previous post ZON BEBAS KENDERAAN BAWA IMPAK POSITIF BUAT PENIAGA
Next post PROGRAM MELAKA EXPLORACE TERBESAR ANJURAN BERNAMA SEMPENA TMM2024
Ubah saiz-+=