1,400 PROGRAM KEAGAMAAN SETIAP TAHUN – EXCO
BANDARAYA MELAKA 25 Januari – Melaka menyubur dan mengembangkan syiar Islam dengan menganjurkan sebanyak 1,400 program bersifat keilmuan serta keagamaan pada setiap tahun.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata program dianjurkan itu akan melibatkan setiap lapisan masyarakat di negeri ini.
“Sebenarnya program keagamaan kita sangat banyak khususnya sepanjang Ramadan seperti Program Taqqarub Ramadan di masjid dan surau bersama agensi terlibat.
“Selain itu kita ada program-program besar seperti sambutan maulidur rasul, karnival Islamik, Melaka berselawat dan sebagainya.
“Jadi jumlah keseluruhan program dianjurkan oleh agensi-agensi agama Islam Melaka ada lebih kurang 1,400 program di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Haflah Qurra’ Negeri Melaka Tahun Ke-9 2025 mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat.
Rahmad berkata beliau juga akan memastikan lebih banyak program keagamaan di negeri ini akan diadakan pada setiap tahun.
“Insya-Allah mungkin selepas ini pada tahun akan datang jumlah program keagamaan ini bertambah lagi.
“Dengan adanya program keagamaan ini kita dapat menyuburkan lagi syiar Islam di negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.