14 pelacur warga asing ‘layan’ pelanggan tetap, ditahan
AYER KEROH 16 Ogos – Kegiatan pelacuran 14 wanita warga asing yang hanya melayan pelanggan tetap terbongkar menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar bandar di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, 14 pelacur membabitkan 12 warga Vietnam dan dua warga Thailand berusia antara 22 hingga 37 tahun itu ditahan dalam Op Noda antara jam 5 hingga 7 petang.
Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Jalan Limbongan Kechil, oleh pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan berjaya menahan enam wanita Vietnam.
“Serbuan kedua dijalankan di Jalan Melaka Raya 8, dan menahan tiga wanita Vietnam serta dua wanita Thailand dan seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis, lingkungan usia 40-an.
“Dalam serbuan ketiga di Taman Melaka Raya pula, kita berjaya memberkas tiga lagi wanita warga Vietnam dan seorang penjaga premis berusia 43 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media menerusi aplikasi Zoom Meeting di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah dan Ketua JSJ negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman.
Abdul Majid berkata, siasatan awal mendapati sindiket pelacuran itu aktif sejak tahun lalu dan semua pelacur terbabit memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan terkandas di sini berikutan sekatan pergerakan di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara bagi menangai COVID-19.
“Aktiviti itu kembali beroperasi dalam tempoh sebulan ini dengan ejen dilantik mempromosikan kegiatan itu menerusi aplikasi WhatsApp dan Wechat, kebanyakannya kepada pelanggan tetap.
“Bila ada pelanggan yang berminat, gambar mereka akan dihantar kepada pelacur terbabit untuk persetujuan dan bayaran khidmat seks dikenakan antara RM150 hingga RM260 yang dibayar terus kepada pelacur.
“Ejen dan penjaga premis terbabit pula dibayar 10 peratus daripada bayaran itu sebagai upah atau komisen, dengan setiap pelacur mendapat antara tiga hingga empat pelanggan sehari,” katanya sambil menambah aktiviti pelacuran itu berlangsung antara 12 tengah hari hingga 8 malam saja.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan itu termasuk wang tunai berjumlah RM600.
Katanya, pihaknya turut mengenal pasti seorang ejen yang mempromosi kegiatan itu dan akan mengesan beberapa lagi yang terlibat dalam sindiket berkenaan.
“Semua wanita berkenaan dan dua penjaga premis direman empat hari bermula Jumaat hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372A/372B Kanun Keseksaan.
“Dalam serbuan itu, polis turut menahan lima lelaki bekerja sebagai ahli perniagaan dipercayai pelanggan tetap berusia 27 hingga 30 tahun dan mengeluarkan kompaun mengikut Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB 2021),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.