137 positif, Kluster Pulau Gadong kini terkawal
AYER KEROH 9 Dis – Kluster Pulau Gadong yang membabitkan pelajar dan guru di sebuah madrasah baru-baru ini, telah merekodkan keseluruhan 137 kes positif COVID-19 setakat semalam.
Exco Kesihatan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah itu direkodkan hasil saringan ke atas 224 guru dan pelajar di madrasah terbabit.
Beliau bagaimanapun yakin kluster itu tidak akan merebak ke komuniti susulan tindakan pantas yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dalam mengawal penularan wabak itu.
“Saya percaya kes ini tidak akan tersebar ke komuniti memandangkan kesemua mereka telah dikuarantin lebih awal iaitu bermula 25 Nov lalu.
“Jadi, orang ramai tidak perlu gentar dengan kluster ini kerana saya percaya Jabatan Kesihatan dapat mengawal kluster ini lebih awal.
“Kesemua 137 yang positif juga hanyalah berada dalam kategori 1 dan 2 sahaja dan insya-Allah jika tiada kes baharu, tempoh kuarantin mereka akan tamat pada 14 Dis ini,” katanya dalam satu sidang media di Menara Persekutuan.
Sebelum ini, media melaporkan Kluster Pulau Gadong menjadi satu-satunya kluster berkait dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas salah seorang tenaga pengajarnya yang merupakan jentera pilihan raya dikesan positif COVID-19 sebelum menular ke dua buah madrasah di Pulau Gadong.
Muhamad Akmal berkata, tiada lagi kluster baharu berkait dengan PRN Melaka dikesan setakat ini.
“Ada kes positif melibatkan jentera politik yang lain, tetapi jumlahnya amat sedikit dan tidak melibatkan kluster.
“Jangkitan mereka juga terjadi secara sporadik, dan tidak berkait secara langsung dengan PRN,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.