130 kanak-kanak ‘masuk jawi’ percuma

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

MELAKA, 26 Feb – Seramai 130 kanak-kanak lelaki kawasan Parlimen Tangga Batu menyertai program Khatan Perdana secara percuma sempena cuti persekolahan di Masjid Al Aminin Batang Tiga, Klebang di sini hari ini.

Program anjuran bersama pengurusan masjid dan badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Prihatin Anak Melaka (PPAM) itu disertai kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun sejak 9 pagi hingga 2 petang tadi.

Pengerusi PPAM, Mohd Syamsul Mat berkata usaha itu bagi membantu golongan ibu bapa yang berpendapatan rendah sekali gus dapat mengurangkan beban mereka daripada menanggung kos berkhatan di klinik.

“Setiap kali musim cuti persekolahan sememangnya di negeri ini kebiasaannya program berkhatan beramai-ramai diadakan kerana ia dilihat lebih menjimatkan kos ditanggung ibu bapa.

“Dengan peningkatan kos berkhatan kini mencecah sehingga RM150 ringgit seorang, program sebegini dilihat dapat membantu golongan ibu bapa kurang berkemampuan terutamanya memiliki ramai anak lelaki,” katanya kepada pemberita pada program itu di sini hari ini.

Terdahulu Program Berkhatan Perdana itu dirasmikan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Iskandar Mohd Akin.

IMG-20230226-WA0015
SHAMSUL Iskandar menyantuni kanak-kanak pada program Khatan Perdana.

Salah seorang bapa peserta Mohd Hafiz Ibrahim, 33, berkata beliau memanfaatkan sepenuh peluang itu dengan menghantar tiga anak lelakinya yang berusia antara tujuh hingga sepuluh tahun.

“Seperti saya yang mempunyai anak lelaki yang ramai pastinya program ini kita tidak akan lepaskan kerana bimbang kos berkhatan terus meningkat pada masa akan datang dan ia sedikit sebanyak membantu keluarga B40,” katanya.

Manakala Romizan Othman, 42, yang menghantar anaknya berusia sembilan tahun menyertai program khatan itu berkata diharap pada masa akan datang ia dapat diteruskan untuk membantu lebih ramai ibu bapa. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1710
Kongsi :
Previous post Alor Gajah Digital platform aduan rakyat
Next post Tenis bukan lagi sukan golongan elit
Ubah saiz-+=