129,200 DIJANGKA MERIAHKAN HSN 2024 MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 7 September – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 Peringkat Negeri Melaka dijangka akan disertai seramai 129,200 peserta dengan penganjuran pelbagai program dan aktiviti.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP. Shanmugam berkata, penganjuran selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Oktober itu akan membabitkan lebih 20 program di peringkat daerah serta negeri.

Katanya, bertemakan #CergasBersama, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah-Daerah kini giat merancang serta menyusun pelbagai aktiviti sukan termasuk program yang akan diadakan.

“Saya percaya bahawa sebahagian daripada kita akan menjadi peserta dan memeriahkan sambutan HSN 2024 sekali gus merealisasikan sasaran penyertaan seramai 129,200 orang.

“Sepanjang berlangsungnya sambutan ini terdapat lebih 20 acara sukan antaranya sukan lasak, larian dan sukan tradisional akan diadakan, kesemua ini membabitkan penyertaan dari pelbagai lapisan umur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pra Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Melaka 2024, yang turut dihadiri Pengarah JBS negeri, Mohamad Mazlan Anis, di sini, hari ini.

Menurut Shanmugam, menariknya pada penganjuran edisi ke-9 HSN, ia akan berlangsung pada waktu malam di Banda Hilir bersempena Melaka Bila Larut Malam (MBLM).

“Buat julung kalinya perlancaran HSN diadakan pada waktu malam dan Melaka negeri pertama mendapat kebenaran, sudah pasti dengan peluang ini kita akan memanfaatkannya.

“Penganjuran HSN bagi peringkat negeri dan daerah Melaka Tengah akan berlangsung di Banda Hilir manakala untuk daerah Alor Gajah akan diadakan di Padang Taman Seri Aman, Masjid Tanah manakala peringkat Jasin pula di Pekan Merlimau,” katanya.

Jelas beliau, HSN merupakan hari yang perlu diraikan bersama dalam era masyarakat Madani dalam misi membudayakan aktiviti sukan, riadah serta kecergasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA TERAP ELEMEN ISLAMIK – KM
Next post ‘AL FATEH TUNGGU MOMMY DEKAT SYURGA YA..’
Ubah saiz-+=