Sorting by

×

Biden terima suntikan vaksin COVID-19, mahu rakyat turut sama

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

WASHINGTON 22 Dis – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menerima suntikan vaksin COVID-19 pada Isnin, untuk meyakinkan rakyat Amerika ketika ramai yang menyuarakan tidak bersedia untuk mendapatkan vaksin itu.

Biden antara pegawai tinggi AS terawal menerima suntikan itu selepas Timbalan Presiden, Mike Pence, disuntik dos pertama pada Jumaat, lapor Agensi Berita Yonhap.

“Saya lakukan ini supaya setiap orang perlu bersedia mendapatkan vaksin apabila ia tersedia,” kata bakal presiden itu sejurus menerima suntikan di sebuah klinik di Delaware.

“Tiada yang perlu dibimbangkan. Saya menunggu untuk suntikan kedua,” tambahnya.

Setiap penerima vaksin COVID-19 mesti mendapat dua dos, suntikan kedua akan diberi dalam tempoh tiga hingga empat minggu selepas dos pertama.

AS mula memberikan vaksin COVID-19 setelah Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) meluluskan penggunaan kecemasan vaksin yang dibangunkan  syarikat gergasi farmasi AS, Pfizer pada 4 Disember.

Vaksin kedua, yang dibangunkan syarikat Moderna AS, diluluskan untuk penggunaan kecemasan oleh FDA pada Jumaat.

Biden turut menyeru orang ramai membantu menghentikan penyebaran virus dengan memakai pelitup muka semasa cuti perayaan Krismas dan tahun baru, menjaga jarak sosial, melakukan perjalanan jika perlu serta mendengar nasihat pakar-pakar kesihatan.

Beliau juga mengulangi perlunya orang ramai mendapatkan vaksin apabila ia sudah tersedia di hospital.

AS negara maju paling teruk dijangkiti, dengan catatan lebih 18 juta kes COVID-19 dan lebih 321,000 kematian pada Isnin. – BERNAMA

 

Views:

435
Kongsi :
Previous post Melaka terima zakat perniagaan RM15,240,918.15
Next post Kutipan zakat Melaka meningkat 0.95 peratus
Ubah saiz-+=