12,500 anggota Bomba siap siaga hadapi musim kemarau
BUKIT KATIL 8 Feb- Seramai 12,500 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara bersiap siaga menghadapi musim kemarau dan kering yang dijangka bermula Mac ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata anggota dan aset jabatan turut bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi sebarang situasi luar jangka.
Katanya, persediaan itu adalah bagi kemungkinan berlakunya kebakaran hutan yang boleh menyebabkan bencana jerebu berikutan musim kering, kemarau dan krisis air.
“Sejak kita memperkasakan kesiapsiagaan dalam pengurusan bencana banjir kita belum tutup lagi bilik gerakan di 16 negeri seluruh negara.
“kita akan teruskan untuk memantau, mengurus dan mengendali kes pembakaran hutan di lokasi panas terutama di Selangor, Perak serta negeri-negeri bahagian utara Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Ibu Pejabat JBPM Melaka, Bukit Katil yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, bagi memantau kejadian kebakaran hutan JBPM kini menggunakan dron selain aset helikopter sedia ada.
Menurutnya, jumlah keanggotaan dalam siap siaga menjelang kemarau juga adalah anggota yang telah bersedia untuk misi banjir yang lalu.
Jelasnya cuti anggota yang bertugas masih tidak dilonggarkan namun ia bergantung kepada pengarah bomba negeri masing-masing untuk memberikan kelulusan.
“Cuti kita masih tidak longgarkan tetapi bergantung kepada pengarah bomba negeri dan melihat kepada keadaan negeri masing-masing,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.