1,200 penduduk Asahan terima vaksin menerusi inisiatif MOVAK
SELANDAR 27 Julai – Seramai 1,200 penduduk di Asahan, dekat sini, akan diberi suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).
Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, bermula semalam seramai 600 penduduk kampung di kawasan itu menerima suntikan vaksin.
Beliau berkata, sebanyak 600 lagi dos suntikan akan diberikan dalam program sama pada Khamis dan Jumaat ini.
“Dalam tempoh dua hari ini, seramai 600 penduduk kampung terutama membabitkan ahli jawatankuasa penduduk yang memerlukan urusan bersama orang ramai seperti imam, bilal, penggali kubur dan sebagainya diberikan vaksin.
“Jadi, jumlah keseluruhan penduduk yang akan menerima suntikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan adalah seramai 1,200 orang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat berusia 18 tahun ke atas,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan berkata demikian selepas meninjau program berkenaan di Dewan Hang Kasturi Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Selandar, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Habibah Jaafar.
Abdul Ghafaar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar berkata, program seumpama itu mampu mempercepatkan imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat luar bandar.
“Sudah tentu kita mahu memberikan vaksin kepada seberapa ramai penduduk, cuma kekangan program itu adalah dari segi bekalan vaksin dari Kerajaan Persekutuan yang diberikan berdasarkan had dijadualkan sahaja,” katanya.
Sementara itu, Habibah berkata, kawasan Asahan adalah lokasi ketiga MOVAK negeri dan untuk setiap program itu pihaknya menyediakan lima kenderaan bagi memudahkan pemberian vaksin dalam kalangan penduduk di kawasan itu.
Jelasnya, unit rondaan itu bertindak membawa penerima vaksin yang menghadapi masalah pengangkutan ke dewan terbabit.
“Hari ini sahaja sebanyak 19 ‘trip’ dilakukan yang mana membabitkan 21 penerima vaksin kategori tiada kenderaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.