1,200 jemaah haji ‘terkandas’ berpeluang tunaikan rukun Islam kelima, tahun depan
BANDA HILIR 29 Jun – Lebih 1,200 jemaah haji Melaka yang terkandas tahun ini berpeluang menunaikan rukun Islam kelima itu tahun hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu telah diselaraskan pihak Lembaga Tabung Haji (TH) Melaka berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sekali gus, menyaksikan tiada ibadah haji dijalankan tahun ini.
“Dalam lawatan kerja saya ke sini antara perkara yang telah dimaklumkan ialah penjelasan mengenai jemaah yang sepatutnya menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
“Jadi, saya difahamkan ada sistem yang dilaksanakan yang mana jemaah yang sepatutnya menunaikan haji pada tahun ini akan dianjakkan pada tahun depan dan begitulah bagi jemaah tahun depan akan dianjak ke tahun berikutnya.
“Kita berharap semuanya akan berjalan lancar dan InsyaAllah kita doakan semua dapat dipermudahkan urusan menunaikan ibadah ini,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di TH Melaka, pagi tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri (Dr) Hasim Hasan dan Pengarah Lembaga Tabung Haji Melaka, Haji Mohamad Zahir Hussin@Yusof.
Dalam lawatan itu, Sulaiman telah dimaklumkan mengenai perjalanan operasi Tabung Haji Melaka dan turut didedahkan mengenai data-data pendeposit di negeri ini.
Sehingga tahun 2020, seramai 367,404 pendeposit telah menyimpan di Tabung Haji yang merangkumi 58 peratus daripada penduduk Islam di negeri ini.