Sorting by

×

120 kiosk bantu peniaga kecil jana pendapatan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 7 Mac – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sejumlah RM2.1 juta bagi pembinaan 120 unit MyKiosk baharu di Negeri Melaka bagi tahun lalu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kemudahan kiosk itu membantu peniaga kecil untuk menjana pendapatan dengan lebih selesa.

“Sudah tentu dengan adanya kiosk baharu ini peniaga kecil dapat berniaga dan menjana pendapatan mereka dengan lebih sistematik.

“Terdapat juga inisiatif lain yang dilaksanakan seperti menaik taraf atau membina baharu kemudahan infrastruktur peniaga dan penjaja dengan jumlah implikasi sebanyak RM4,780,110 pada tahun lalu.

“Antara inisiatif itu adalah menaik taraf infrastruktur Pasar Malam Taman Bertam Jaya (RM350,000) dan cadangan membina serta menyiapkan pusat penjaja terbuka di Taman Seri Telok Mas bernilai RM750,000 di kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, bagi kawasan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sejumlah RM933,730 diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf pasar.

“Manakala sejumlah RM1,331,620 diperuntukkan di kawasan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bagi menaik taraf infrastruktur bangunan unit gerai, pasar malam dan gerai-gerai yang usang.

“Diikuti Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sejumlah RM1,414,760 diperuntukkan bagi kerja-kerja meroboh dan membina medan selera baharu, menaik taraf bumbung medan selera dan menaik taraf medan selera sedia ada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

723
Kongsi :
Previous post Melaka kekalkan kadar zakat fitrah
Next post Persidangan DUN Melaka jadi contoh – KM
Ubah saiz-+=