12 USAHAWAN DAPAT MANFAAT SEWA SETAHUN PERCUMA DI PULAU MELAKA
SERI NEGERI 30 Disember – Inisiatif sewa percuma selama setahun di premis perniagaan milik Perbadanan Ketua Menteri (CMI) di Pulau Melaka telah memberi manfaat kepada 12 usahawan di negeri ini.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, jumlah itu direkodkan setakat November 2024, di mana setiap penyewa dikehendaki mengikat tempoh sewaan selama tiga tahun.
Menurut beliau, CMI mempunyai sebanyak 283 lot kedai atau pejabat dan akan terus mempergiatkan lagi promosi penyewaan kepada individu atau syarikat berminat, termasuk merancakkan lagi potensi Pulau Melaka sebagai pusat limpahan ekonomi baharu.
“Setakat ini, antara perniagaan yang beroperasi di Pulau Melaka adalah pusat kecantikan / spa, restoran dan kedai makan, kedai serbaneka, kedai kek atau pastri, pusat muzik, pusat pengedaran dan logistik serta pejabat-pejabat syarikat, termasuk busana pengantin serta penganjur acara pada masa akan datang.
“CMI sentiasa mempromosi dan menambah baik premis perniagaan ini, termasuk mengecat bangunan dengan pelbagai warna menarik, selain memasang lampu berwarna-warni ke laluan masuk Pulau Melaka.
“Selain itu, CMI juga mempunyai perancangan untuk memajukan kawasan laluan Duck Tour di Pulau Melaka untuk menarik lebih ramai pelancong datang, sekali gus memberi limpahan kepada perniagaan sama ada baharu atau lama di kawasan sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Dalam jawapan lisan tambahan, Allex turut memaklumkan bahawa CMI mempunyai perancangan untuk melaksanakan Penjenamaan Konsep Kawasan Hab Perniagaan di Pulau Melaka mengikut zon tertentu.
Jelas beliau, antara zon yang dirancang adalah zon pendidikan, zon hospitaliti dan hiburan, zon usahawan, zon aktiviti sukan air, zon komersial serta zon aktiviti kemasyarakatan.
“Malah, CMI turut merancang menjadikan keguiataan sewaan ‘Air BNB’ di lot tersebut, selain membina kolam renang dan taman tema air dalam tempoh satu atau dua tahun lagi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.