Sorting by

×

12 TUNJANG KELESTARIAN MELAKA – KM

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERI NEGERI 28 April – Sebanyak 12 tumpuan digariskan Kerajaan Negeri bagi merencana kelestarian pembangunan Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kesemua fokus itu digariskan bagi memastikan manfaat pembangunan negeri dirasai oleh semua.

Menurut beliau tumpuan utama adalah menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur.

Jelas beliau, perkara tersebut penting dalam bukan sahaja memperkukuh ekonomi negeri, bahkan pada masa sama membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Ab Rauf berkata, tumpuan kedua pula adalah merancakkan sektor pelancongan memandangkan sektor tersebut merupakan nadi utama Negeri Melaka.

Beliau berkata, pelbagai langkah telah diatur Kerajaan Negeri, termasuklah melanjutkan Tahun Melawat Melaka hingga tahun 2026 selaras dengan matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026), selain memperkenal 800 produk pelancongan bagi membina ekosistem yang lebih mampan.

“Perkara ketiga adalah menjadikan Melaka hab pendidikan dan TVET negara dalam memastikan negeri ini mampu melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berkualiti dalam pelbagai sektor.

“Tumpuan seterusnya adalah teknologi dan pendigitalan, dengan pelbagai inisiatif seperti Kampung Digital, pengenalan kod QR haiwan ternakan dan beca serta membangunkan infrastruktur digital inklusif di kawasan luar bandar.

“Fokus kelima pula adalah melestarikan pembangunan mampan, di mana Kerajaan Negeri sentiasa menekankan kebersihan dan keceriaan sebagai asas penting bagi melonjakkan kualiti hidup
rakyat, sektor pelancongan, kesihatan awam dan imej negeri di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Usul Terima Kasih Yang di-Pertua Negeri Melaka di Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.

Ketua Menteri memaklumkan, tumpuan keenam adalah membangunkan infrastruktur dan sistem pengangkutan yang bersepadu, diikuti menjamin bekalan makanan.

Selain itu, ujar beliau, Kerajaan Negeri turut memberi fokus kepada membela kebajikan rakyat dalam usaha membantu golongan memerlukan dan seterusnya mengekalkan status sifar miskin tegar.

“Perkara kesembilan adalah pembangunan usahawan berdaya maju, selain pemerkasaan belia dan sukan serta mengutamakan kesihatan rakyat.

“Tumpuan terakhir ialah memartabatkan syiar Islam yang merupakan teras kepada setiap inisiatif pembangunan di negeri ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

243
Kongsi :
Previous post ‘JANGAN CUBA-CUBA NIKAH SINDIKET’
Next post PUSAT SEHENTI HUBUNGKAN USAHAWAN MELAKA