12 peserta berentap pertandingan akhir Majlis Tilawah Al-Quran DMDI ke-12

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 April – Seramai 12 qari dan qariah bakal berentap pada pertandingan akhir Majlis Tilawah Al-Quran Atas Talian Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) kali ke-12 yang akan berlangsung di Auditorium Masjid Al-Azim di sini pada 13 April ini.

Majlis berkenaan adalah anjuran bersama DMDI dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang diadakan setiap tahun namun dijalankan secara atas talian sejak tahun lalu selepas pandemik melanda dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal majlis berkenaan, Datuk Che Sukri Che Mat berkata majlis berkenaan mendapat penyertaan seramai 52 peserta daripada lapan negara termasuk Malaysia, Indonesia, Kemboja, Mauritius, Australia, Afrika Selatan, Singapura dan Thailand.

Katanya, setakat ini semua peserta berkenaan sudah mengemukakan bacaan surah masing-masing untuk diadili bagi melayakkan diri pada peringkat saringan yang akan diadili pada 12 April sebelum berentap pada pertandingan akhir pada keesokannya.

“Penghakiman dijalankan secara atas talian atau secara ‘virtual’ dan saringan (untuk ke pusingan akhir) dibuat berdasarkan bacaan surah yang telah ditentukan.

“Selepas itu hanya 12 peserta dipilih yang akan diadili oleh sembilan panel juri secara ‘live’ pada pertandingan akhir di auditorium berkenaan.

“Pada sebelah petang 13 April itu, majlis penutup dan penyampaian hadiah serta majlis berbuka puasa akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam dan turut disiarkan secara ‘live’ menerusi laman Facebook,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat jawatankuasa teknikal majlis terbabit di Bilik Mesyuarat Bahagian Pengurusan Dakwah, Pusat Islam Melaka.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, johan bagi qari dan qariah pertandingan itu bakal membawa pulang hadiah wang tunai mading-masing RM5,000 manakala naib johan menerima RM3,000 dan tempat ketiga RM2,000.

“Bagi peserta yang memenangi hadiah saguhati akan menerima wang tunai RM300,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1153
Kongsi :
Previous post Kerajaan jamin subsidi haji diteruskan – Idris
Next post Ahli akademik, sertailah dan perkasakan bola sepak Malaysia!
Ubah saiz-+=