12 individu sindiket judi atas talian ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PAYA RUMPUT 9 Ogos – Dengan tawaran upah kerja RM2,500 hingga RM3,000 sebulan, 12 individu sanggup menjadi ‘orang tengah’ mempromosi perjudian atas talian di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Perdana sejak sebulan lalu.

Suspek termasuk tiga wanita berusia 18 tahun hingga 28 tahun itu diberkas di rumah itu yang dijadikan pusat panggilan pada jam 6.30 petang Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi sejak sebulan lalu dan menyasarkan golongan muda dengan menawarkan kerja sambilan dengan upah RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

KOMPUTER riba yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan pusat panggilan judi atas talian.

“Siasatan mendapati semua suspek menggunakan laman sosial termasuk Facebook, WhatsApp dan Telegram bagi mempromosi kegiatan itu.

“Bagi transaksi jualan dan belian dilakukan menerusi perbankan atas talian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam serbuan itu polis merampas tiga set komputer riba dan 26 telefon bimbit pelbagai jenama disyaki digunakan untuk kegiatan berkenaan.

Katanya, siasatan turut mendapati semua suspek turut menjadi ejen tambah nilai perjudian untuk mempromosikan aktiviti sama.

“Semua suspek direman lima hari bermula Sabtu hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” katanya.

Afzanizar turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya untuk melanggan sebarang bentuk tawaran aktiviti perjudian atas talian menerusi laman sosial.

“Pihak polis memandang serius terhadap aktiviti berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas ke atas individu mahupun kumpulan terbabit sindiket berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

552
Kongsi :
Previous post Anak nafi bekas KSN Tun Ahmad Sarji meninggal dunia
Next post PRISMA-CENDANA: RM25 juta diperuntukkan termasuk peruntukan tambahan untuk pulih industri seni budaya
Ubah saiz-+=