
12 FLAGSHIP, PSMJ 2035 VERSI 3 IKUT PERANAN PORTFOLIO EXCO
BANDARAYA MELAKA 27 Februari – Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 Versi 3 menjadi Pelan Induk Pembangunan Negeri Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, pelan tersebut telah diatur dan disusun mengikut peranan portfolio Exco terbaharu selain pengenalan indikator sasaran utama mengikut fasa pembangunan.
Katanya, terdapat 12 Flagship secara keseluruhan yang mampu memberi kesan berganda kepada kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi Melaka.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, Flagship 1: Pembangunan Ekonomi Melaka yang akan diselia dibawah portfolio saya dan dibantu oleh Datuk Khadhirah Abu Zahar; Flagship 2: Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang akan diketuai Allex Seah Shoo Chin dan dibantu Tuminah Kadi @Mohd Hashim.
“Flagship 3: Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan diketuai Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dibantu Timbalan beliau Low Chee Leong; Flagship 4: Pengurusan Infrastruktur Lestari diselia Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dibantu Datuk Zahari Abd Kalil; Flagship 5: Perbandaran Mampan akan diketuai oleh Datuk Rais Yasin dibantu Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
“Flagship 6: Melaka Negeri Pelancongan pula akan diketuai Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dibantu Datuk Zaidi Attan; Flagship 7: Pendidikan dan Hal Ehwal Agama akan diketuai Datuk Rahmad Mariman dibantu Datuk Rosli Abdullah; Flagship 8: Teknologi dan Komunikasi Digital diselia oleh Datuk Fairul Nizam Roslan dibantu Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Flagship 9: Melaka Sejahtera (Perpaduan dan Sumber Manusia) dipimpin oleh Datuk Ngwe Hee Sem di bantu Siti Faizah Abdul Azis.
“Flagship 10: Melaka Sejahtera (Kebajikan) diketuai Datuk Kalsom Noordin dibantu Leng Chau Yen; Flagship 11: Melaka Sejahtera (Kesihatan) diketuai Datuk Ngwe Hee Sem dibantu Siti Faizah Abd Azis dan Flagship 12: Melaka Sejahtera (Belia dan Sukan) dibawah pimpinan Datuk VP Shanmugam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Rumusan dan Perasmian Penutup Konvensyen Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco, Timbalan Exco, Ketua Jabatan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, Kerajaan Negeri perlu melangkah gagah, bertindak segera melaksanakan segala yang dirancang dengan sebaik mungkin.
“Setiap pelan, projek dan inisiatif dilaksanakan perlu dinilai serta diaudit secara berterusan bagi menjamin kualiti dan mencapai sasaran indeks petunjuk prestasi (KPI) seperti yang ditetapkan.
“Saya memandang serius setiap perancangan yang telah diperhalusi dan diputuskan dalam setiap portfolio agar dapat memberi impak menyeluruh kepada rakyat Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.