
112 ORANG MELAKA DITIPU ‘SCAMMER’, BABIT KERUGIAN RM1.032 JUTA
MACHAP JAYA 15 Mac – Belum cukup tiga bulan sejak tahun 2025 membuka tirai, seramai 112 rakyat Melaka telah menjadi mangsa penipuan dalam talian (scam).
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, jumlah itu membabitkan kes yang direkodkan pada 1 Januari hingga 13 Mac dengan nilai kerugian berjumlah lebih RM1.032 juta.
Jelas beliau, nilai kerugian itu membabitkan pelbagai modus operandi penipuan antaranya jual beli dalam talian, pelaburan tidak wujud dan ‘love scam’.
“Kita bimbang kes ini terus meningkat dan mengatasi nilai kerugian tahun lalu, namun di peringkat Kerajaan Negeri, kita akan terus menggerakkan Task Force Judi Online, Fraud dan Jenayah Cyber bagi memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap jenayah ini.
“Kita juga akan melibatkan pelbagai agensi supaya dapat bersama-sama menjadi ejen anti ‘scammer’ memandangkan kebanyakan yang menjadi mangsa adalah mereka yang tidak pernah tahu kewujudan jenayah seperti ini.
“Malah, bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang akan menjelajah setiap DUN juga akan kita pergiatkan kempen ini agar bilangan mangsa penipuan di negeri ini dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Peduli Siber, Asnaf Sejahtera anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertempat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Alor Gajah, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem dan Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Urusan MCMC Datuk Zulkarnain Mohd Yasin; Pengarah Kanan MCMC Wilayah Selatan Mohamad Rizal Ahmad; Pengarah MCMC Negeri Melaka Syed Isa Al-Sagoff serta lain-lain kenamaan.
Fairul Nizam yang juga Adun Asahan berkata, rakyat Melaka dinasihatkan agar mempraktikkan pendekatan ‘Semak Dahulu Sebelum Sesal’ sekiranya menerima apa jua tawaran atau panggilan telefon yang mencurigakan.
“Ahli keluarga juga perlu memainkan peranan untuk memberi pendedahan mengenai jenayah penipuan, selain orang ramai juga boleh terus membuat laporan kepada MCMC atau pihak polis agar sekatan talian dapat segera dilakukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.