112 calon bertanding PRN Melaka
AYER KEROH 8 Nov – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 112 kertas pencalonan untuk bertanding di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini selepas tempoh penamaan berakhir jam 10 pagi tadi.
Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata daripada jumlah itu 96 calon adalah lelaki manakala 16 lagi calon wanita.
Beliau berkata, daripada 112 calon itu, tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) menampilkan seramai 28 calon, manakala, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan lima calon dan satu calon daripada Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Abdul Ghani berkata seramai 22 calon Bebas turut disahkan bertanding pada PRN Melaka.
Beliau berkata tiga DUN menyaksikan calon terbanyak bertanding iaitu melibatkan pertembungan enam penjuru membabitkan DUN Asahan, Duyong dan Gadek.
Selain itu, SPR turut mengumumkan terdapat 5 DUN menghadapi pertembungan lima penjuru dan sembilan DUN melibatkan empat penjuru.
Manakala, baki 11 lagi DUN hanya melibatkan pertembungan tiga penjuru.
Beliau berkata, calon termuda pada PRN Melaka berusia 21 tahun yang bertanding di Sungai Rambai, manakala calon tertua berumur 68 tahun bertanding di DUN Pengkalan Batu.
Katanya, bagi PRN ini, SPR masih mengekalkan sasaran 70 peratus rakyat Melaka berumur 21 tahun ke atas akan keluar mengundi.
“Kita berharap pengundi-pengundi ini dapat keluart mengundi mengikut waktu yang digalakkan kerana semua sedia maklum kita telah mencadangkan waktu yang sesuai untuk keluar.
“Tambahan pula, waktu mengundi pada 20 Nov nanti adalah tempoh masa yang panjang iaitu bermula 8 pagi hingga 5.30 petang, jadi kita harap pengundi dapat memilih waktu yang bersesuaian,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Menara Persekutuan, hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.