11 rumah, bengkel motosikal rosak akibat ribut di Batu Berendam
Kejadian kira-kira 5.30 petang itu melibatkan kawasan perumahan Taman Sri Selendang, Kampung Pulau Samak dan Taman Mas Merah.
Pemilik bengkel motosikal, Mohd Naim Kidam, 22, berkata ketika itu dia berada di Bachang dan bergegas pulang ke rumahnya di Kampung Pulau Samak selepas melihat keadaan cuaca gelap serta guruh mula berdentum.
Sebaik tiba di rumah, Mohd Naim berkata dia terkejut melihat bumbung bengkel motosikal di belakang rumahnya tercabut dan sebahagian rumah dihempap dahan pokok tumbang.
“Bagaimanapun saya bersyukur sebab tiada ahli keluarga cedera, malah majlis kenduri yang diadakan di rumah juga selesai lebih awal, sebelum ribut berlaku.
“Cuma ada khemah yang terbang dan bumbung bengkel rosak, namun tidak menjejaskan motosikal pelanggan,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh Kerk Chee Yee yang meninjau kawasan terjejas.
Seorang lagi mangsa, Safri Abdul Khalid berkata dia kini terpaksa menumpang di surau berhampiran selepas bumbung rumahnya rosak teruk akibat dihempap pokok cempaka yang berusia lebih 80 tahun.
Safri bersyukur ketika kejadian isteri dan ibunya tiada di rumah, namun sedih kediaman berusia lebih 30 tahun itu rosak teruk pada bahagian bumbung.
“Saya belum dapat membuat anggaran kerugian tetapi percaya ia melebihi RM10,000,” katanya.
Sementara itu, Kerk berkata beliau akan memastikan kerja-kerja memangkas pokok dilakukan di lokasi berisiko terutama di kawasan laluan angin.
“Sebenarnya perkara ini sudah menjadi perhatian saya serta Ahli Majlis dan sudah ada kerja-kerja pemangkasan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Kita akan terus pantau dan ambil maklumat mengenai pokok-pokok berisiko ini terutama yang sudah berusia memandangkan kita sudah memasuki musim tengkujuh,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.