Sorting by

×

11 AGENSI AGAMA MELAKA BERGABUNG JAYAKAN SAMBUTAN HARI RAYA 24 APRIL INI

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 9 April – Kira-kira 3,000 pengunjung dijangka memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bagi Tahun 1446H/2025 pada 24 April depan.

Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad berkata, seperti tahun sebelumnya sambutan dijadualkan berlangsung di Dataran Pusat Islam, bermula jam 10 hingga 1 tengah hari.

“Majlis ini diadakan dengan kerjasama 10 agensi lain termasuk anak syarikat MAIM, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Mufti Negeri Melaka (JMNM) Mahkamah Syariah Negeri Melaka dan Zakat Melaka.

“Setiap satu agensi ini bertanggungjawab menyediakan juadah antaranya seperti sate, rendang, minuman dan nasi beriani, lempeng untuk pengunjung.

“Kali ini kita jangkakan kira-kira 3,000 pengunjung akan hadir selain terdapat lebih 25 juadah tradisional disediakan sepanjang berlangsungnya majlis itu nanti,” katanya.

Shaifulfazlee berkata, Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini diadakan setiap tahun dan amalan ini mampu merapatkan lagi hubungan bukan sahaja dalam semua agensi dan kakitangan tetapi dengan masyarakat setempat.

“Lebih menarik, majlis itu nanti dijangka akan turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman; Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman,” katanya.

Jelasnya, turut akan berlangsung adalah Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Mualaf Negeri Melaka yang dijadualkan pada 19 April ini di Kompleks Darul Huda, Balai Islam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2703
Kongsi :
Previous post MELAKA-GUANGXI JALIN KERJASAMA PELANCONGAN, PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN INDUSTRI
Next post KPDN MELAKA KESAN 7 KESALAHAN TIDAK PAMER TANDA HARGA ‘PINK’