Sorting by

×

Melaka layan pelancong seperti tetamu – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Januari – Semua pengunjung dan pelancong ke negeri ini bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dianggap sebagai ‘tetamu’ Kerajaan Negeri.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, gelaran tetamu itu bersesuaian dalam usaha menjadikan negeri ini negeri mesra pelancong.

Katanya, simbolik di sebalik gelaran tersebut umpama melayani tetamu yang berkunjung ke rumah dan ia merupakan satu budaya yang perlu diterapkan semua penggiat pelancongan di negeri ini.

“Sempena TMM2024, kita mahu menganggap pelancong yang berkunjung ke negeri ini sebagai tetamu Kerajaan Negeri.

“Bila kita menganggap sedemikian, sudah semestinya kita perlu melayan mereka ini dengan sebaik yang boleh termasuk dengan cara sopan santun dan manis muka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) & Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama di sini, malam tadi.

Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Abdul Razak turut memberi reaksi positif selepas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bagi memperhebat kempen promosi TMM2024.

“Menerusi peruntukan tambahan daripada MOTAC yang diumumkan Menteri, kita akan berbincang di peringkat Kerajaan Negeri untuk menggunakan peruntukan tambahan tersebut bagi pelbagai pengisian sempena TMM2024.

“Saya percaya dengan peruntukan tambahan ini kita akan dapat mencapai kehadiran 15 hingga 18 juta kehadiran pengunjung dan pelancong ke negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1330
Kongsi :
Previous post Melaka gamit memori indah Siti Nurhaliza
Next post Senandung Anak Melaka lonjak populariti Yasser Fikri
Ubah saiz-+=