Sorting by

×

1,010 pelajar baharu Politeknik Merlimau kembali ke kampus

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MERLIMAU 16 Nov – Seramai 1,010 pelajar baharu Politeknik Merlimau Melaka (PMM) telah mendaftar ke kampus bagi mendapatkan kemudahan kolej kediaman PMM bermula 10 Nov lalu.

Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PMM, Mohd Hoirie Abdul Manah berkata, pendaftaran pelajar sesi 1 bagi tahun 2021/2022 itu diadakan selama tiga hari oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP).

Katanya, pelajar berkenaan sebelum ini mendaftar secara atas talian bulan September lalu sebelum mendaftar kemasukan ke kolej kediaman secara bersemuka pada tarikh ditetapkan.

“Pelajar ini sebenarnya mendaftar secara dalam talian bulan Sept lalu, kali ini hanya proses pendaftaran kolej kediaman seiring dengan pengumuman pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membolehkan pengajian di kampus diadakan secara hibrid.

“Terima kasih pada semua petugas dalam kalangan pelajar dan staf terutama JHEP yang menjalankan tugas demi melancarkan proses pendaftaran baru-baru ini,” katanya kepada MHI.

Sementara itu, Ketua Jabatan JHEP Zan Aizuwan Zainal Abidin berkata jumlah itu hanya melibatkan pelajar baharu dan pihaknya telah mengaturkan tarikh secara berfasa bagi kehadiran para pelajar ke kampus mengikut jabatan.

“Pihak PMM juga telah membangunkan Sistem Deklarasi Kesihatan dan Penilaian Risiko Covid-19 (PolyCcDec) untuk memantau tahap kesihatan pelajar dan status vaksinasi bagi tujuan kuarantin kendiri sebelum mendaftar ke PMM.

“Walaupun para pelajar tinggal di dalam kampus tetapi hanya sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) seperti makmal dan bengkel saja akan berjalan secara fizikal selebihnya secara dalam talian,” katanya.

Untuk rekod, minggu orientasi pelajar baharu PMM atau Minggu Haluan Siswa (MHS) bagi Sesi 1, 2021/2022 mencatat sejarah sebagai MHS pertama diadakan secara dalam talian iaitu para pelajar berada di rumah masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2439
Kongsi :
Previous post Merlimau: Dr Akmal mahu wujudkan ‘floating market’
Next post BN bangunkan sebuah IPT di DUN Lendu
Ubah saiz-+=