10,000 langkah kearah kesihatan
ASAHAN 20 Julai – Program Jom Bersama YB Along Berjalan 10,000 Langkah, 17 Julai lalu, mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, program berkenaan telah mendapat penyertaan 300 peserta yang terdiri daripada penduduk DUN Asahan, pelajar sekolah dan masyarakat Orang Asli.
Katanya, program bermula seawal jam 7.30 pagi bagi sesi pendaftaran dan peserta berkumpul diarahkan untuk berkumpul di Padang Awam Rumah Awam Pondok Batang.
“Alhamdulillah, program 10,000 langkah bermula dari Rumah Awam Pondok Batang dan berakhir di Kampung Masjid Baru berjalan dengan lancar.
“Kita mendapat penyertaan sangat menggalakkan khususnya dalam kalangan penduduk di DUN Asahan sendiri, terima kasih semua yang hadir, juga kepada Penasihat Menteri Kesihatan, Datuk Iruan Zulkifli kerana sudi hadir memeriahkan program,” katanya.
Fairul bersama Iruan yang diiringi Pengarah Kesihatan Negeri Dr Rusdi Abdul Rahman dan Kepimpinan masyarakat setempat kemudian mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan dalam DUN Asahan.
“Alhamdulillah terima kasih atas ambulans untuk Klinik Kesihatan Nyalas dan perhatian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan dengan perkara penting untuk kemudahan dan keselesaan di klinik-klinik untuk rakyat DUN Asahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.