Sorting by

×

1,000 tanglung, naga gergasi di Jonker Walk

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

MELAKA, 3 Feb — Kira-kira 1,000 tanglung bersaiz besar serta pelbagai hiasan lampu, replika naga gergasi dan pintu gerbang menghiasi sekitar Jonker Walk di sini bertujuan memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina, selain menarik lebih ramai pengunjung bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk Melaka Datuk Gan Tian Loo berkata hiasan mega itu melibatkan kos hampir RM2 juta yang disalurkan pelbagai penaja kepada destinasi wajib singgah pelancong ke Melaka itu, yang akan menjadi tuan rumah sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri pada 22 Feb ini.

“Kita menyasarkan sebanyak satu juta pengunjung termasuk pelancong dari dalam dan luar negara akan ke Jonker Walk dalam tempoh 15 hari bermula 10 Feb ini bersempena dengan Tahun Baharu Cina hingga sambutan Chap Goh Meh pada 24 Feb.

“Sepanjang tempoh itu juga, pelbagai program kebudayaan dan kesenian diatur untuk dipersembahkan kepada orang ramai, sekali gus menarik kedatangan lebih ramai pengunjung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jonker Walk di sini hari ini.

Beliau berkata bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, pasar malam Jonker Walk khas akan diadakan pada 22 Feb iaitu pada Khamis berbanding operasi pada hari Jumaat hingga Ahad.

Sementara itu, katanya bakul sia gergasi dengan ketinggian 4.57 meter dan lebar 2.44 meter akan ditempatkan bersebelahan pentas utama Jonker Walk sebagai satu daripada tarikan baharu kepada pengunjung bagi meraikan TMM 2024 dan sambutan tahun naga.

Beliau berkata bakul sia gergasi berkenaan dibawa khas dari Yongchun, China bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia – China, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Bakul sia merupakan antara ikon kesenian tradisional yang sinonim dengan masyarakat Baba dan Nyonya khususnya di Melaka sejak beratus tahun dahulu,” katanya.

— BERNAMA

    

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2976
Kongsi :
Previous post Laksana Op Bersepadu, bantu aliran trafik musim perayaan
Next post Tokong di Selandar bermandikan cahaya, gamit kedatangan pelancong
Ubah saiz-+=