1,000 pelajar SMK Munshi Abdullah bergilir ke sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 30 Oktober – Separuh daripada kira-kira 2,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam, di sini, akan menjalani sesi persekolahan secara bergilir.

Ia susulan ribut yang membadai sekolah berkenaan, pada Sabtu, yang menyaksikan enam blok sekolah mengalami kerosakan teruk.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, penggiliran pelajar ke sekolah itu dibuat bagi membolehkan kerja baik pulih sekolah dilakukan yang dijangka mengambil masa empat hingga enam bulan.

Beliau bagaimanapun berkata, penggiliran itu hanya membabitkan pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 sahaja, manakala pelajar Tingkat 4, 5 dan 6 akan menjalani sesi persekolahan seperti biasa.

“Penggiliran buat pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 itu bermakna buat sementara waktu mereka akan mengikuti sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) mengikut tempoh waktu yang ditetapkan.

“Jadual penggiliran itu akan ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, namun kita akan melihat kesesuaian pelaksanaan itu sama ada lebih sesuai dilakukan penggiliran atau mungkin boleh dilakukan sesi pembelajaran di sekolah secara dua sesi iaitu pagi dan petang.

“Perkara ini (penggiliran) tidak melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan kerana kita tidak mahu musibah yang melanda ini mengganggu tumpuan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan lawatan melihat kerosakan SMK Munshi Abdullah, di sini, hari ini.

Photo1698632360
SUKARELAWAN bersama guru-guru melakukan kerja-kerja pengalihan kerusi dan meja selepas kejadian ribut pada Sabtu lalu mengakibatkan kerosakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, Batu Berendam. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Rahmad memaklumkan Kementerian Pendidikan telah memberi peruntukan awal berjumlah RM100,000 bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekolah berkenaan.

Menurut beliau, kerja-kerja pembersihan itu dilakukan oleh sukarelawan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4773
Kongsi :
Previous post Ribut: RM3 juta baik pulih SMK Munshi Abdullah
Next post Persiapan TMM2024 capai lebih 70 peratus – KM
Ubah saiz-+=