1,000 PEK MAKANAN SAMBUT GENG RXZ KE MELAKA
AYER KEROH 13 November – Sebanyak 1,000 pek makanan akan diberikan secara percuma kepada geng motosikal Yamaha RXZ yang akan datang ke Melaka 6 Disember nanti.
Ia bersempena Ride Edition RXZ Members Melaka Chapter 2024 yang berlangsung di Dataran MITC, 6 dan 7 Disember depan.
Inisiatif itu ditaja Siti Sayang Mamat, 38 bersama keluarganya yang merupakan antara peminat dua roda itu di negeri ini.
Menurut anak jati Durian Tunggal itu, dia bersama keluarga akan menanti ketibaan peserta di Plaza Tol Ayer Keroh pada 6 Disember nanti bagi mengagihkan pek makanan dan air balang kepada peminat RXZ dari seluruh negara yang akan tiba.
Jelasnya, pemberian makanan dan minuman secara percuma itu bertujuan membalas budi dan jasa warga Terengganu yang menyambut dan memberi layanan kepada orang Melaka pada perhimpunan yang berlangsung September lalu.
“Sebelum ini kami sekeluarga memang sentiasa memberikan sokongan kepada acara di Terengganu dan menerima layanan cukup baik. Jadi, kami mahu membalas balik bagaimana mereka sambut kita di Melaka nanti.
“Insya-Allah sebanyak 1,000 pek akan kita agihkan kerana kita sangat teruja dan bangga apabila acara himpunan terbesar ini diadakan di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Proton X50 Sempena Ride Edition RXZ Members Melaka Chapter 2024 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Hotel MITC, di sini.
Menurut Siti Sayang, dia bersama keluarga meminati motosikal itu sejak berdekad lamanya dan kini memiliki sebanyak 15 buah Yamaha RXZ.
Katanya, selain aura dimiliki motosikal itu, semangat ikatan ukhwah yang kuat di antara pemiliknya juga menjadikan mereka sentiasa mengikuti program himpunan yang dianjurkan meskipun terpaksa menempuh perjalanan ratusan kilometer.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana memberi sokongan kepada peminat RXZ seluruh negara dan turut menyediakan hadiah menarik untuk acara hujung tahun ini.
“Kepada rakan-rakan di luar sana, jangan lupa datang ke Melaka kerana Melaka ‘tak keras’,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.