1,000 murid bergelar ‘hajah’ dan ‘haji’ cilik
BUKIT PALAH 20 Julai – Kira-kira 1,000 kanak-kanak dari 55 tadika seluruh Melaka berusia empat hingga enam tahun teruja bergelar ‘hajah’ dan ‘haji’ selepas melaksanakan rukun Islam kelima menerusi Program Silmulasi Haji Cilik, hari ini.
Pengerusi Persatuan Tadika Islam Cawangan Melaka (PERTIM), Suhaili Othman berkata, penganjuran kali kelima itu merupakan praktikal bagi pembelajaran secara teori yang membawa murid merasai sendiri suasana menunaikan ibadah haji.
“Ini adalah praktikalnya yang dimasukkan dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), anak-anak sendiri merasakan suasana seakan mereka berada di tanah suci.
“Sebab itu kami menyediakan sembilan ‘checkpoint’ sama seperti mereka berada di sana (tanah suci). Anak-anak akan melalui sembilan checkpoint ini termasuk mengutip batu untuk melontar dan akan duduk seketika ketika wukuf.
“Alhamdulillah, jelas terpancar keterujaan anak-anak ini semasa mereka menunggu simulasi haji Cilik setiap tahun. Kita boleh lihat riak wajah mereka yang sangat teruja,” katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Pusat Islam di sini, hari ini.
Ujarnya, biarpun tempoh persiapan agak singkat, namun segala rukun dapat diselesaikan dengan teratur.
“Malah penyertaan program ini mendapat sambutan menggalakkan sehingga pihaknya terpaksa menolak lebih 300 penyertaan di saat akhir bagi mengelakkan risiko perkara tidak diingini.
“Jadi saya mohon kepada pengusaha di luar sana, ini adalah acara tahunan dan boleh masuk awal tahun, kita mahu kumpulkan lebih ramai lagi anak anak menyertai program ini di masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.