Sorting by

×

1,000 KERETA CEKAP TENAGA ‘LAHIR’ DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

ALOR GAJAH 13 Disember – Industri automotif di Melaka melakar sejarah baharu apabila berjaya memasang 1,000 Kereta Cekap Tenaga (EEV) di kilang pemasangan yang terletak di Kawasan Perindustrian HICOM Pegoh, di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan itu disifat amat membanggakan memandangkan kira-kira setahun yang lalu, beliau baru sahaja menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Kilang oleh Kumpulan EP Manufacturing Berhad (EPMB) dan kini ia berjaya direalisasikan.

Menurut beliau, kilang berkenaan bukan sahaja membuka dimensi baharu terhadap industri automotif hijau, bahkan turut memacu ekonomi dengan membuka peluang pekerjaan kepada anak Melaka.

“Dalam tempoh setahun, kilang ini sudah mula beroperasi dan berupaya mengeluarkan sebanyak 30 unit kereta EEV sehari dan kini telah mencapai jumlah yang ke-1,000 untuk dihantar dan dieksport.

“Kita melihat industri pemasangan kereta di Melaka ini sedang giat berkembang dengan pelaburan yang dibawa oleh syarikat EPMB dan telah berjaya memberikan suntikan ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Terima kasih diucapkan kepada EPMB kerana memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan dan menjadikan kilang ini sebagai antara kilang bertaraf dunia yang diiktiraf Great Wall Motor dengan keluaran kereta berjenama HAVAL H6 HEV ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Penghantaran Kereta Cekap Tenaga atau Energy Effiecient Vehicles (EEV) Ke-1,000 unit oleh Kumpulan EPMB di Kawasan Perindustrian HICOM Pegoh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalannya Datuk Zahari Abd Kalil; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Pengerusi Eksekutif Kumpulan EPMB Hamidon Abdullah serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan EPMB kini sedang giat menuju Fasa Kedua pembangunan fasiliti pengeluaran dengan mengunjurkan pemasangan 30,000 unit kenderaan setahun.

Jelas beliau, fasa kedua itu dianggarkan membabitkan kos pelaburan berjumlah RM240 juta secara keseluruhan, termasuk untuk kos perbelanjaan tanah, kilang dan peralatan pemasangan bagi fasa pertama hingga kedua.

“Malah, perancangan Fasa Ketiga juga sedang dijalankan iaitu membangunkan fasiliti pembuatan ‘body’ and ‘chassis’ kenderaan termasuklah proses pengecatan dengan anggaran tempoh masa 24 bulan untuk disiapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2652
Kongsi :
Previous post POLIS KESAN WANITA DAKWA AKAN LANGSUNG PERKAHWINAN BERSAMA TENGKU HASSANAL
Next post MELAKA SASAR SEDIA 300 STESEN PENGECAS EV