1,000 dodol diagih percuma di Pantai Puteri
PANTAI KUNDOR 17 April – Sebanyak 1,000 dodol diagih secara percuma kepada orang ramai di Pentas Budaya Pantai Puteri, bermula malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi berkata, agihan juadah tradisi itu merupakan antara program yang dirangka bagi menghidupkan suasana Ramadan tahun ini.
Katanya, program itu diketuai Pemuda UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor dan dibantu oleh kesemua sayap pimpinan di setiap cawangan.
Istimewanya, Tuminah yang mesra dengan panggilan Kak Ina berkata, dodol berkenaan dimasak sendiri secara gotong-royong oleh hampir 100 pimpinan sayap sejak petang semalam.
“Alhamdulillah, saya cukup seronok dapat turut serta dan melihat kerjasama erat semua yang terlibat dalam menyiapkan empat kawah dodol dalam program ini.
“Setiap kawah dapat menyediakan kira-kira 250 dodol yang diisi dalam bekas plastik dan bekas anyaman daun nipah yang mana kesemuanya diagihkan kepada orang ramai yang lalu-lalang di Pantai Puteri.
“Walaupun julung kali diadakan, saya melihat sambutan yang diterima cukup baik dan insya-Allah kita akan menjadikan program ini sebagai acara tahunan setiap kali tiba bulan Ramadan,” katanya.
Tuminah berkata, selain dodol UMNO DUN Pantai Kundor juga bakal bergotong-royong menyiapkan 14 periuk bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai.
Ujar beliau, penyediaan bubur lambuk itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi dan syarikat korporat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Tanjung Bruas Port, Petronas, TKR Manufacturing dan lain-lain.
“Alhamdulillah, badan-badan korporat juga banyak menyumbang dalam merancakkan aktiviti sepanjang Ramadan di DUN Pantai Kundor termasuklah memberikan sumbangan kepada anak yatim dan asnaf.
“Kami di JAPERUN sangat mengalu-alukan sumbangan daripada badan korporat dalam memastikan sambutan perayaan kali ini memberi senyuman kepada warga Pantai Kundor,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.