1,000 BAKAL MERIAHKAN FUNWALK & FUNRIDE SUMMER @TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 3 Oktober – Acara berbasikal dan larian ‘Funwalk&Funride Summer @Tanjung Bidara Beach yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini, bakal dimeriahkan dengan penyertaan kira-kira 1,000 peserta.
Setiausaha Japerun Tanjung Bidara, Ahmad Warid Ismail berkata, acara itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2024.
“Acara ini antara pengisian yang terdapat sepanjang dua hari sambutan diadakan. Kita jangkakan akan menerima kira-kira 1,000 penyertaan untuk kedua-dua acara iaitu larian dan berbasikal.
“Menariknya untuk Funwalk & Funride Summer @Tanjung Bidara Beach ini kita menawarkan hadiah utama iaitu wang tunai RM1,000 selain barangan elektrik bagi cabutan bertuah,” katanya.
Menurutnya, individu yang berminat untuk menyertai acara larian ataupun berbasikal mereka hanya perlu membayar RM19 bagi mendapatkan t-shirt.
“Kita amat mengalu-alukan penyertaan bukan sahaja dalam kalangan penduduk Tanjung Bidara tetapi juga dari luar untuk yang ingin turut serta memeriahkan penganjuran program,” katanya.
Jelas Ahmad Warid, turut akan berlangsung di Kompleks Japerun Tanjung Bidara adalah sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia dengan beberapa lagi program menarik termasuk pameran dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Sepanjang dua hari berlangsungnya sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 12 dan 13 Oktober turut akan ada beberapa program lain antaranya pertandingan taekwando, silat dan sukaneka rakyat.
“Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dijangka akan merasmikan sambutan selain dianggarkan kira-kira 3,000 orang akan memeriahkan program yang diadakan itu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.