1,000 ANAK-ANAK ISTIMEWA MERIAHKAN SUKAN OKU MASJID TANAH
AYER LIMAU 21 November – Lebih 1,000 anak-anak istimewa sekitar Parlimen Masjid Tanah bersaing dan menunjukkan bakat mereka sepanjang Program Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) berlangsung di Japerun Ayer Limau, selama tiga hari dari 5 hingga 7 November lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, sukan OKU membabitkan penyertaan murid dan pelajar istimewa dari beberapa sekolah sekitar Parlimen Masjid Tanah.
“Sukan OKU mempertandingkan acara sukan seperti bola jaring, futsal, memanah, bola sepak dan sukaneka. Tiga hari berlangsung program Sukan OKU ini adalah untuk meraikan anak-anak istimewa sekitar Masjid Tanah dengan pelbagai pengisian yang kita atur.
“Anak-anak istimewa berusia 8 hingga 16 tahun sekitar Parlimen Masjid Tanah ini kita kumpul dan laksanakan pelbagai jenis sukan untuk meraikan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, Sukan OKU Parlimen Masjid Tanah akan diangkat sebagai program tahunan.
Menurutnya, penganjuran itu juga secara tidak langsung dapat mencungkil bakat dalam kalangan anak-anak istimewa untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.