
100 TAHUN, PANDU PUTERI MELAKA TERUS MARTABAT ANAK GADIS, WANITA
BANDA HILIR 18 April – Menginjak usia 100 tahun penubuhannya, Persatuan Pandu Puteri Melaka terus mengorak langkah dalam memartabatkan anak gadis dan wanita di negeri ini untuk menyerlahkan potensi diri.
Penasihat Kehormat Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Melaka Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz berkata, dari sekecil-kecil murid berusia 6 tahun sehingga ke peringkat dewasa dengan pelbagai latar belakang, persatuan itu telah memainkan peranan cukup besar sebagai ejen perubahan yang membentuk sahsiah dan jati diri golongan muda wanita.
Tidak hanya itu, beliau memaklumkan Pandu Puteri juga mampu melahirkan generasi muda yang berdedikasi dan sedia menghadapi cabaran masa depan.
Tambah beliau, bertepatan dengan tema 100 tahun Pandu Puteri di Melaka iaitu ‘Menjulang Kepimpinan Wanita’, persatuan itu juga telah memainkan peranan cukup besar memartabatkan kepimpinan wanita dalam agenda pembangunan Negeri Melaka sehingga pelbagai kejayaan dan pencapaian telah diraih.
“Oleh itu, sentiasalah kita meningkatkan nilai kepimpinan seiring perkembangan zaman tanpa melupakan akar budaya dan pegangan agama dengan mengikut acuan kita sendiri.
“Inilah sumbangan besar kita kepada negara bangsa bagi memastikan negeri dan negara kita terus maju.
“Saya yakin kepimpinan yang ada sekarang dengan gabungan ilmu, kemahiran dan pengalaman pemimpin muda dan tua, Pandu Puteri Melaka akan terus meraih kejayaan demi kejayaan pada masa akan datang, bertepatan dengan kata-kata semangat iaitu tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2025 Peringkat Negeri Melaka dan seterusnya merasmikan Pelancaran Sambutan 100 Tahun Pandu Puteri di Melaka di ruang legar Mahkota Parade, di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Melaka Datin Wira Nurazlina Md Sanusi; Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Melaka Sio Pek Suan; Ketua Pesuruhjaya Cawangan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Melaka Patimahtun Zaharah Abdul Jalil serta lain-lain kenamaan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Zuriyah yang juga isteri Ketua Menteri turut menitipkan pesanan kepada anak-anak Pandu Puteri di Melaka agar sentiasa menjaga adab dan tidak melupakan ajaran agama serta kepercayaan masing-masing semasa melibatkan diri dalam mana-mana aktiviti luar sekolah.
“Jadikan budaya timur yang kita amalkan selama ini sentiasa menjadi teras utama agar tidak terpesong sehingga terikut-ikut budaya luar yang tidak baik yang semakin hari semakin parah.
“Biarlah ahli Pandu Puteri yang mengamalkan nilai-nilai positif dan mulia menjadi contoh terbaik sebagai anak dan sebagai warganegara untuk diikuti oleh orang lain, di samping menjadi ejen perubahan yang disegani dalam masyarakat,” katanya lagi.
Terdahulu, majlis itu dihadiri seramai 863 peserta terdiri daripada ahli-ahli Pandu Puteri Melaka, selain delegasi Girl Guide Hong Kong dan Pandu Puteri Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pelbagai aktiviti dan pertandingan diadakan sepanjang majlis itu, antaranya pertandingan tarian kontemporari, Doodle Art dan mewarna.
Selain itu, bersempena sambutan 100 Tahun Pandu Puteri di Melaka, pelbagai aktiviti akan dirancang seperti pertandingan mencipta logo, program sumbangan kasih warga prihatin, kempen derma darah, penanaman pokok bakau, pembersihan pantai, hi tea serta lain-lain lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.