100 PELAYANG TEMPATAN DAN ANTARABANGSA BERKAMPUNG DI KLEBANG
KLEBANG 16 September- Lebih 100 pelayang tempatan dan antarabangsa berkampung di Melaka bersempena Karnival Usahawan@Festival Layang-Layang Antarabangsa Negeri Melaka 2024 di Klebang Street bermula Sabtu lalu hingga hari ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata turut mengambil bahagian adalah peserta dari negara luar seperti, Vietnam, Thailand, Singapura dan Perancis.
Katanya, penganjuran berskala besar buat julung kali diadakan itu turut membabitkan Karnival Usahawan menghimpunkan pengusaha pelbagai jenis produk Negeri Melaka.
“Sebanyak 48 gerai usahawan turut berkampung pada acara ini yang mana semuanya adalah usahawan kecil Melaka yang sememangnya berpotensi untuk diketengahkan ke persada antarabangsa.
“Pesta Layang-Layang Antarabangsa pada tahun ini diadakan dengan skala besar bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang mana sebelum ini dikenali sebagai Pesta Layang-Layang sahaja.
“Kerajaan Negeri menyambut baik usaha Persatuan Rakan Layang-Layang Melaka dan semua yang terlibat atas penganjuran festival seumpama ini kerana SECARA tidak langsung dapat mempromosi dan mempergiat permainan tradisional negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan@Festival Layang-Layang Antarabangsa Negeri Melaka 2024 di Klebang Street, semalam.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin bersama Timbalannya, Tuminah Kadi@Mohd Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.