100 lokasi di Melaka nikmati liputan 5G menjelang hujung tahun

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

BANDA HILIR 9 Disember – Pengguna di 100 lokasi di Negeri Melaka dijangka akan mula menikmati perkhidmatan 5G menjelang hujung tahun ini.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata tahap liputan itu akan terus dipertingkatkan di bawah Fasa 2 Pelan Pelaksanaan 5G Negeri Melaka oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

“Setakat ini pengguna di 41 lokasi (site on air) di daerah Melaka Tengah sudah mula menikmati liputan 5G.

“Bermula 2023 keseluruhan lokasi menikmati liputan 5G akan ditingkatkan di semua tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat sempena Persidangan Antarabangsa Smart Melaka 2022 di sebuah hotel, di sini.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, usaha juga dilakukan untuk meningkatkan lagi tahap liputan 5Gdi sekolah-sekolah di Negeri Melaka.

Katanya, mengikut perancangan perkara itu akan dimulakan di sekolah dalam daerah Melaka Tengah dan diikuti Alor Gajah serta Jasin.

“Namun perkara itu masih dalam perancangan lagi dan kita akan usahakan untuk merealisasikan impian itu.

“Hal ini kerana, di luar negara, ada yang sudah membincangkan untuk membina capaian 6G dan kita tidak mahu ketinggalan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2075
Kongsi :
Previous post Penduduk gempar, sebuah unit pangsapuri terbakar
Next post Murid dikasari fasilitator kem motivasi, polis terima empat laporan
Ubah saiz-+=