100 bekas tentera terima sumbangan bakul makanan
TANGGA BATU, 5 Sept – Seramai 100 bekas anggota tentera terima sumbangan bakul makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.
Melibatkan bekas anggota tentera dalam kawasan Tangga Batu, sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong di pejabatnya di Klebang, di sini kepada Ketua Cawangan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Tangga Batu, Mohammad Shah Mahalim serta Timbalannya, Mohamad Yusri Yaakob.
Turut hadir, Bendahari Veteran ATM Cawangan Tangga Batu, Nor Azmi Abas.
Ban Hong berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu golongan berkenaan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 ketika ini.
Katanya, sumbangan berupa barangan keperluan harian seperti tepung, minyak masak, gula pasir, susu dan makanan kering itu diharap dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung mereka.
“Bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan ini, kami menghargai jasa dan pengorbanan bekas anggota tentera satu ketika dahulu yang mempertahankan negara tercinta.
“Atas dasar itulah, saya memilih untuk menyampaikan sumbangan ini kepada golongan terbabit yang sekali gus dapat mengurangkan kesulitan kehidupan yang mungkin mereka alami ketika penularan pandemik ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu, hari ini.
Sementara itu, Mohamad Shah berkata, sumbangan terbabit membuktikan keprihatinan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada golongan sasar yang sangat terkesan akibat wabak berkenaan.
Beliau berkata, menerusi sumbangan itu, golongan memerlukan termasuk bekas anggota tentera dapat menjalani kehidupan yang baik.
“Terima kasih kepada Datuk Lim Ban Hong serta kerajaan yang menyumbangkan bakul makanan ini. Kami amat menghargainya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.