10 tahun tanpa jemu ceriakan sambutan merdeka

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

MELAKA 13 Sept – Biarpun ketika ini negara dihimpit pandemik COVID-19, namun ia tidak menghalang penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Paya Rumput Permai menunjukkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap negara.

Ini dibuktikan sejak 31 Ogos lalu sehingga hari ini, seramai 100 penduduknya kalangan pelbagai bangsa dari usia sembilan hingga 55 tahun bergotong-royong memasang lebih 300 Jalur Gemilang di sepanjang jalan masuk ke taman perumahan di situ, termasuk di hadapan rumah masing-masing.

Pengerusi KRT Paya Rumput Permai, R. Ganes berkata, program keceriaan sambutan kemerdekaan tahun ini memasuki kali ke-10 dan tetap berjalan dalam suasana meriah di taman yang dihuni kira-kira 344 keluarga itu.

GANES membantu kerja-kerja gotong-royong memasang Jalur Gemilang pada laluan masuk Taman Paya Rumput Permai.

“Walaupun dalam pandemik CODID-19, ia tidak merencatkan semangat dan usaha penduduk untuk menceriakan sambutan kemerdekaan negara.

“Ini satu-satunya masa yang sangat sesuai untuk penduduk menunjukkan semangat patriotisme dan cintakan negara dengan perasaan bangga memasang dan kibarkan Jalur Gemilang sebagai meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-64 tahun ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

KRT Paya Rumput Permai pernah dinobatkan sebagai juara Keceriaan Sambutan Kemerdekaan Terbaik peringkat negeri bagi kategori taman perumahan anjuran Jabatan Penerangan negeri pada 2016.

Selain itu menurut Ganes, melalui program itu, pihaknya berharap ia dapat mendidik generasi muda supaya menghormati dan mencintai Jalur Gemilang.

SEBAHAGIAN Jalur Gemilang yang dipasang di sepanjang laluan masuk taman perumahan Paya Rumput Permai.

“Tidak ketinggalan juga kepada generasi lama Taman Paya Rumput Permai dimana melalui usaha ini, ia dapat mengingatkan kembali nostalgia mereka tentang kegigihan dan perjuangan pahlawan negara menentang penjajah untuk mencapai kemerdekaan,” ujar beliau.

Selain program memasang Jalur Gemilang, KRT Paya Rumput Permai turut menganjurkan pertandingan secara maya bertujuan menceriakan lagi sambutan kemerdekaan dalam kalangan penduduk di taman itu.

Antaranyanya, pertandingan Melukis Poster Kemerdekaan untuk kanak-kanak bawah lapan tahun, deklamasi sajak 10 – 12 tahun dan 13 – 18 tahun, gubahan untuk kaum wanita, pakaian beragam kaum bapa, cipta cogan kata berkonsepkan perpaduan serta Ceria Merdeka (hiasan halaman rumah bagi kategori keluarga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1375
Kongsi :
Previous post Kerajaan, PH lakar sejarah meterai MoU transformasi dan kestabilan politik
Next post Transformasi Parlimen perlu ada perincian menyeluruh- Adly
Ubah saiz-+=