10 syarikat berminat melabur di Taman Perindustrian Jerman
SERI NEGERI 30 November – Sebanyak 10 syarikat dari Jerman telah menyatakan minat untuk melabur ke Taman Perindustrian Jerman setakat ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ab Rauf berkata, persetujuan itu bakal dimeterai menerusi kerjasama antara German-Malaysian Institute dengan Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak lama lagi.
Jelas Ketua Menteri, Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Melaka (MCorp) kini sedang dalam proses menyiapkan dokumen berkaitan dan proses menandatangani perjanjian dijangka akan bermula pada Januari 2024.
“Saya percaya kawasan industri baharu seperti Taman Perindustrian Jerman ini akan memperkukuh ekosistem dan rantaian industri di peringkat tertinggi, selain membuka peluang kepada industri hiliran baharu yang memanfaatkan penduduk.
“Bukan itu sahaja, malah, pemindahan teknologi juga akan berlaku yang mana syarikat-syarikat dari Jerman sendiri menggalakkan kedatangan pelajar-pelajar Malaysia, khususnya dari Negeri Melaka yang akan dilatih di Jerman.
“Sewaktu sesi lawatan kerja Kerajaan Negeri ke sebuah syarikat di Jerman, baru-baru ini, kita difahamkan terdapat tiga anak Melaka memimpin operasi mereka di tiga buah negara iaitu New York, Chile dan Argentina.
“Ini membuktikan Melaka mempunyai kredibiliti dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknologi di dunia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai pelaburan baharu yang masuk ke Negeri Melaka pada hari terakhir Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.