10 rumah setinggan atas air musnah terbakar di Tanjung Aru Baru

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KOTA KINABALU 6 Julai – Kira-kira 10 rumah setinggan atas air jenis tidak kekal, musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, awal pagi hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah dalam kenyataan memaklumkan panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 7.08 pagi melalui talian Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999).

“Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian kira-kira 4 km dengan dibantu BBP Penampang,” menurut kenyataan itu hari ini.

PENDUDUK turut membantu anggota dalam operasi memadam kebakaran.

Seramai 40 anggota bersama kekuatan logistik berjaya membuat pemadaman dengan teknik ‘Offensive Firefighting/Fire Break’ bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran sekali gus menyelamatkan puluhan rumah daripada musnah.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan berasingan memaklumkan dua daerah terlibat insiden kebakaran iaitu Kampung Panji Darat di Semporna semalam (5 Julai) dan Kampung Tanjung Aru Baru di Kota Kinabalu, hari ini.

Rentetan itu, sebuah pusat pemindahan Dewan Belia dan Sukan di Semporna dibuka bagi menempatkan 37 mangsa manakala di Kampung Tanjung Aru Baru, proses mengenal pasti mangsa kebakaran sedang dijalankan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

680
Kongsi :
Previous post ‘Lebih baik tutup daripada rugi’
Next post Saringan PeKa B40: 151,729 individu dikesan hidap penyakit tidak berjangkit
Ubah saiz-+=