10 premis, pasar raya dikompaun RM92,000 langgar SOP PKP 3.0

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 27 Jun – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Melaka mengeluarkan kompaun bernilai RM92,000 atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari Mei hingga semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar berkata, kompaun itu dikeluarkan ke atas 10 premis perniagaan termasuk empat pasar raya di negeri ini.

Jelasnya, antara kesalahan yang dilakukan ialah membuka ruangan atau seksyen yang tidak dibenarkan beroperasi, selain ada juga yang tidak menyediakan imbasan kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan.

 

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar. gambar fail.

“Pecahan premis yang diambil tindakan kompaun di atas pelanggaran SOP ialah empat pasar raya, lima kedai perkakasan rumah (hardware) dan sebuah kedai serbaneka dengan nilai kompaun berjumlah RM92,000 ke atas pemilik premis.

“Justeru itu, KPDNHEP Negeri Melaka ingin memberi amaran dan peringatan terhadap mana-mana individu atau entiti yang menjalankan sebarang aktiviti perdagangan untuk terus mematuhi segala SOP yang dikuatkuasakan.

“Antara langkah yang perlu dipatuhi ialah premis perlu memaparkan jumlah had kemasukan pelanggan pada sesuatu masa dengan sistem nombor giliran, memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis dengan penjarakan sekurang-kurangnya satu meter, dan memastikan terdapat sekurang-kurangnya seorang pekerja mengawal laluan keluar masuk pelanggan ke premis perniagaan.

“Selain itu, premis perniagaan juga perlu memastikan MySejahtera dan buku pendaftaran kehadiran pelanggan berserta pengimbas suhu dan cecair pembasmi kuman disediakan di laluan masuk, serta memastikan hanya pelanggan yang berstatus “Low Risk” termasuk “Casual Contact Low Risk” dibenarkan masuk ke dalam premis perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

OPERASI pemantauan pematuhan SOP yang dijalankan petugas KPDNHEP Melaka sepanjang tempoh PKP 3.0.

Mengulas lanjut, Norena berkata, sejak 1 Januari lalu sehingga semalam, sebanyak 14,245 premis di seluruh Melaka telah diperiksa dengan 1,353 pemeriksaan dikhususkan kepada pematuhan SOP PKP yang dikuatkuasakan kerajaan.

Menurutnya, PPDNHEP sebagai agensi yang mengawal selia sektor perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran telah telah diberi kuasa dalam menguatkuasakan Akta 342 dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19.

“KPDNHEP Melaka mengingatkan semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Pengguna juga perlu menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan dengan menyalurkan aduan melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal jam 8 pagi hingga 6 petang,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

481
Kongsi :
Previous post Harap urusan vaksin dipercepatkan – Peniaga
Next post Perlu masa tambahan untuk stabilkan isyarat MEASAT-3
Ubah saiz-+=