10 kambing golek untuk orang Bemban
BEMBAN 28 April – Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban menyajikan 10 ekor kambing golek untuk tetamunya di Kompleks Japerun Bemban, hari ini.
Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop berkata kehadiran jemputan tahun ini lebih meriah iaitu seramai 6,000 tetamu berbanding tahun sebelum hanya 4,000 tetamu.
“Alhamdulilah ini tahun kedua kita mengadakan rumah terbuka DUN Bemban dan saya lihat penerimaan masyarakat semakin bertambah serta meriah.
“Bukan itu sahaja, tahun ini kita membuat kambing golek bakar sebanyak 10 ekor berbanding tahun lalu hanya lima ekor.
“Menu juga lebih banyak termasuk menyajikan makanan barat seperti kentang putar, ‘coleslaw’ dan salad,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu rumah terbuka tersebut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang tiba kira-kira jam 11.35 pagi.
Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi@Mohd Hasim dan lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.