10 jahitan tambah derita nelayan
KUALA LINGGI 7 Julai – Kehidupan seorang nelayan yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang bertambah derita apabila kepalanya cedera akibat dihempap pondok perahu yang roboh akibat hakisan pantai.
Sudahlah hasil tangkapan merosot sejak tiga bulan lalu, Mohamad Yusof, 53, terpaksa pula menahan kesakitan dan menerima 10 jahitan di kepala selepas dihempap pondok berkenaan di pantai Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru pada Ahad.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Mohamad tidak sempat menyelamatkan diri sejurus sebelum pondok kayu itu roboh manakala adiknya, Abu Bakar, 50, bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri.
Ketika kejadian, mangsa dan adiknya sedang mengemaskan jaring dalam perahu gentian kaca sebelum turun ke laut menangkap ikan tetapi tidak sempat berbuat demikian apabila pondok berusia lebih lima tahun itu secara tiba-tiba runtuh dan menghempapnya.
“Sejak seminggu lalu pondok perahu kami memang sudah agak senget kerana hakisan pantai yang menyebabkan kaki pondok ditarik ke bawah.
“Semasa kami mengemaskan jaring, tiba-tiba sahaja pondok runtuh tetapi adik saya sempat menyelamatkan diri, manakala saya tidak sempat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian baru-baru ini.
Mohamad berkata, kepalanya berlumuran darah akibat dihempap kayu galang pondok yang menyebabkan dia berasa amat sakit dan pening.
Beliau bernasib baik kerana secara kebetulan ketika kejadian ada seorang penduduk kampung itu yang bertugas sebagai jururawat lelaki berada tidak jauh dari lokasi kejadian yang segera memberikan bantuan kecemasan.
Mohamad dikeluarkan oleh Abu Bakar dan beberapa penduduk kampung daripada runtuhan berkenaan sebelum kecederaan itu dirawat oleh jururawat terbabit.
Beliau dibawa seorang penduduk kampung itu ke Hospital Alor Gajah, di sini untuk menerima rawatan yang hanya selesai kira-kira jam 8 malam tadi.
Abu Bakar berkata, runtuhan pondok itu bukan setakat mencederakan abangnya, malah merosakkan perahu gentian kaca yang digunakan mereka untuk mencari rezeki di laut.
“Hakisan pantai yang semakin teruk sejak minggu lalu menyebabkan pondok ini senget tetapi kami tidak menjangka ia akan roboh semasa kami mengemaskan jaring,” katanya.
Kerosakan perahu menyebabkan mereka tidak mampu turun ke laut, sekali gus menambah kesengsaraan hidup sebagai nelayan yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, katanya.